
Berita Harian January 16, 2005
Isyarat sebelum tragedi
By Ahmad Fauzi Mustafa
SUDAH tiga minggu malapetaka dahsyat - gempa bumi dan ombak besar tsunami berlaku, namun kesannya masih pahit ditelan. Ratapan anak kehilangan orang tua masih kedengaran, penghantaran makanan, ubat-ubatan dan pakaian berterusan manakala usaha memulakan kehidupan baru terpaksa dilakukan segera.
Apa pun, ada sesuatu yang jarang diperkatakan mengenai tanda dan isyarat awal sebelum tragedi. Ada perkara aneh dan pelik berlaku tanpa disedari manusia terutama di tempat yang terbabit dengan bencana. Namun, ia adalah fakta yang tidak harus dipertikaikan.
Pada pagi yang hening, 26 Disember lalu secara tiba-tiba ruang udara Banda Aceh dikejutkan suasana kicauan berpuluh ribu bangau putih berterbang rendah. Penduduk setempat tergamam dengan kehadiran luar biasa kumpulan bangau putih yang entah dari mana datangnya pada jam 7.30 hingga 7.45 pagi.
Ruang angkasa Banda Aceh bukanlah laluan kelompok burung migrasi seperti bangau putih yang terbang dari satu benua ke satu benua lain. Haiwan itu datang secara tiba-tiba dari arah Lautan Hindi.
Menurut saksi yang terselamat daripada bencana tsunami, kehadiran bangau putih itu cuba memberitahu sesuatu kepada manusia tetapi penduduk sekitar tidak memahaminya. Malah ada yang cuba bermain-main dan membaling batu ke arah kumpulan bangau putih itu.
Bagaimanapun akibat leka dengan kehadiran kumpulan bangau putih berkenaan, secara tiba-tiba kira-kira 15 hingga 30 minit kemudian, berlaku gegaran gempa bumi pertama setengah jam kemudian menyebabkan penduduk Banda Aceh bertempiaran lari.
Gegaran kedua menyusul beberapa minit selepas itu hingga meranapkan bangunan termasuk pusat beli-belah, kedai, sekolah dan rumah di sekitar bandar terbabit. Ini diikuti ombak besar atau tsunami setinggi 30 hingga 40 meter. Cukup dahsyat untuk digambarkan menerusi kata-kata.
Begitulah gambaran pertama yang diluahkan mangsa yang terselamat ketika menceritakan kepada rombongan sukarelawan Malaysia termasuk lima doktor, antara kumpulan pertama dari Malaysia dan negara asing yang tiba di Banda Aceh, 48 jam selepas kejadian.
DI SRI LANKA: Nama Allah terpampang dan terbukti melalui gambar satelit yang diambil selepas tsunami menyerang pantai barat Sri Lanka berhampiran bandar Kalutara dan ketika ia surut.
Ia jelas ejaan nama Allah dalam bahasa Arab. Ini disuarakan Pengurus Pusat Pengajian Islam Sri Lanka, Mohamed Faizen yang merujuk kepada bentuk ombak itu - menyerupai huruf E besar dilengkapi dengan pusaran yang kelihatan menggabungkan skrip Arab menunjukkan nama Allah.
Gambar itu diambil oleh satelit DigitalGlobe Quickbird pada 26 Disember lalu jam 10.20 pagi waktu tempatan, sejurus selepas tsunami menyerang. Ia dapat dilihat menerusi laman web http://globalsecurity.org/eye/andaman- sri-lanka.htm.
DI MALAYSIA: Seorang kaki pancing, Abdul Mutalib Hassan, 35, yang terselamat selepas dihanyutkan tsunami mendakwa dia seperti berada dalam terowong akibat dipukul ombak besar sebanyak tiga kali.
Dia yang memancing bersama seorang rakannya berada dalam terowong itu yang dipenuhi air dan kemudian berasa keajaiban yang sukar dipercayai.
"Sesuatu yang menakjubkan (hairan) berlaku di dalam air...saya boleh bernafas lebih lama daripada biasa, meskipun dibesarkan di kampung nelayan, biasanya paling lama saya bernafas dalam air seminit tetapi pada hari itu sungguh lama," katanya.
DI THAILAND (PHUKET): Pengunjung di Patong dan Karon, Phuket tidak menyangka fenomena air laut surut secara tiba-tiba ketika sedang bersantai.
Ini disaksikan sendiri bapa kepada bekas pelumba pertama Formula Satu (F1) negara, Alex Yoong, Hanifah Yoong, 56, yang sedang bercuti di situ ketika bencana tsunami melanda beberapa negara Asia.
Mangsa terselamat membabitkan kanak-kanak perempuan berusia enam tahun, Zoe Shiu, yang masih hidup selepas gelombang besar memusnahkan sebahagian besar kawasan pelancongan di selatan Thailand.
Zoe Shiu yang memegang pasport Thailand dan Amerika Syarikat, sedang bermain dalam kolam renang resort Sofitel Magic Lagoon di Pantai Khao Lak, Phuket, apabila gelombang besar melanda.
Kanak-kanak itu sempat berpaut pada sofa yang turut hanyut bersamanya, membawanya ke sebuah bot yang terbalik. Seorang pekerja hotel juga hanyut ke arah bot itu dan mereka berjaya menterbalikkan kembali bot itu, lalu masuk ke dalamnya.
DI INDIA: Dalam satu kejadian yang mengejutkan pasukan penyelamat, seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun, membuka matanya dan duduk ketika penggali kubur hampir mengebumikan di bandar Velankanni, Tamil Nadu, di selatan India.
Kanak-kanak itu yang dikumpul bersama mayat mangsa tsunami yang dibawa dari sebuah rumah mayat untuk dikebumikan dalam kubur di sebuah pantai, terselamat kerana tersedar pada saat-saat genting.
© Copyright 2005, New Straits Times Press (Malaysia) Berhad